6 DIS: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 menyaksikan seramai 349 calon layak bertanding.
Lebih menarik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong menjadi rebutan terbanyak calon iaitu lapan penjuru.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pertandingan enam penjuru berlaku di tujuh DUN, lima penjuru (24), empat penjuru (33), tiga penjuru (13) manakala satu lawan satu di empat kawasan.
“Daripada 349 calon layak bertanding, 304 adalah lelaki dan 45 wanita,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Iskandar, Sarawak selepas proses penamaan calon tamat hari ini.
Terdapat kira-kira 1.2 juta pemilih berdaftar pada PRN Sarawak ke-12 yang mempunyai 82 kerusi.
Beliau berkata, calon tertua pada pilihan raya itu berusia 79 tahun iaitu daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) di DUN Bawang Assan manakala calon termuda berumur 24 tahun dari DUN Batu Lintang (PKR) dan DUN Nangka (Parti Bumi Kenyalang).
Bagi pecahan mengikut usia, Abdul Ghani berkata, terdapat lapan calon muda berusia 24 hingga 29 tahun bertanding pada PRN kali ini.
Seramai 37 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 50 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 113 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun manakala 141 calon berusia 60 tahun ke atas.
Daripada keseluruhan 349 calon, 82 adalah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73); Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70); PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11), Amanah (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (lima), PAS (satu) dan Bebas (30).
Menyasarkan 70 peratus pengundi Sarawak akan keluar mengundi, Abdul Ghani percaya ramai yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi, meskipun banyak tempat di Bumi Kenyalang sejak kebelakangan ini sering dilanda hujan.
“Boleh… (capai 70 peratus). Kita tahu rakyat Sarawak orang baik-baik dan akan tunaikan tanggungjawab (mengundi),” katanya.
Sebelum itu, proses penamaan calon selama satu jam yang bermula jam 9 pagi berlangsung dalam suasana normal baharu, tanpa perarakan penyokong parti politik ke semua 82 pusat penamaan calon.
Pada sidang media sama, Abdul Ghani mengumumkan tempoh rasmi berkempen bermula sebaik tamat pengisytiharan senarai calon pilihan raya, dan berakhir pada 11.59 malam, 17 Disember.
Beliau berkata, SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau aktiviti calon bertanding ketika berkempen.
Sementara itu, beliau berkata, penetapan 64 kawasan DUN yang dibenarkan berkempen susulan tidak mempunyai capaian internet tinggi, ditentukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Semalam, SPR memaklumkan penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen PRN Sarawak ke-12, hanya dibenarkan di 64 kawasan DUN yang tidak mempunyai capaian internet yang tinggi.
Selain itu, SPR juga tidak membenarkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan berkempen sepanjang tempoh pilihan raya negeri, kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.
SPR menetapkan pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian pada 18 Disember. – Bernama