7 DIS : Sejak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengumumkan penutupan sementara Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri itu bermula 1 Disember hingga 31 Januari tahun hadapan, ramai peminat aktiviti pendakian mula mengunjungi lokasi popular sama ada di Negeri Sembilan mahupun Perak atau Pahang.
Bagaimanapun, peminat sukan pendakian di Selangor mungkin boleh menarik nafas lega apabila sembilan taman eko rimba di negeri itu dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa.
Menurut laman rasmi Facebook JPNS, sembilan taman eko rimba terbabit ialah Taman Eko Rimba Sungai Tua, Sungai Sendat, Templer, Komanwel, Kanching, Sungai Tekala, Sungai Gabai, Sungai Congkat dan Kota Damansara atau lebih popular dalam kalangan pendaki tempatan, Denai Tiga Puteri.
Bagaimanapun, katanya, kebenaran untuk melakukan aktiviti pendakian hanya dibenarkan sehingga pukul 3 petang dengan aktiviti perkhemahan bermalam tidak dibenarkan.
“Bagi waktu operasi, ia dibenarkan bermula pukul 7.30 pagi sehingga 3 petang bagi Isnin hingga Jumaat manakala Sabtu, Ahad dan cuti pelepasan am dari pukul 7 pagi hingga 3 petang.
“Sebarang pertanyaan boleh ke website rasmi https://forestry.selangor.gov.my atau menghubungi talian 03-5544 7000/7507/7337,” katanya.