KUALA LUMPUR, 14 Disember – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan hatinya masih setia terhadap isterinya justeru tidak berniat untuk berpoligami.
Zafrul dalam komen di Facebook berkata: “Kalau ada yang selepas ini menyamar sebagai Menteri Kewangan, menjanjikan cinta, tolonglah tolak mentah-mentah. Hati saya dah berpunya dan saya tak berminat nak cari no 2. Pesanan ini juga khas untuk isteri saya.”
Media semalam melaporkan, seorang guru guru tadika berusia 59 tahun bukan sahaja kerugian RM4,200 malah kecewa berikutan hasratnya bernikah dengan Menteri Kewangan tidak kesampaian.
Dalam insiden itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof dilaporkan media sebagai berkata, mangsa yang tinggal di Kemayan dekat Bera, Pahang dipercayai berkenalan dengan suspek pada awal bulan ini.
“Suspek menggunakan nama Facebook Tengku Zafrul dan memperkenalkan diri sebagai Menteri Kewangan selain turut menghantar mesej kepada mangsa melalui WhatsApp.
“Suspek berjanji untuk memberikan wang sebanyak RM1 juta dan sebuah kenderaan jenis Rolls-Royce kepada mangsa jika bersetuju untuk berkahwin dengannya,” katanya Mohd Wazir.
Menurut Mohd. Wazir, suspek kemudian meminta mangsa berurusan dengan individu bernama Siti menerusi WhatsApp yang didakwa pengurus bank kepada Tengku Zafrul.
Guru berkenaan kemudiannya diminta membayar yuran pemprosesan untuk berkahwin dengan suspek, katanya.
Dalam pada itu Zafrul berkata, dia meminta orang ramai sentiasa berhati-hati dengan pelbagai penipuan di luar sana.
“Semak dengan pihak berkuasa kalau ada perkara yang mencurigakan. Jangan mudah percaya dengan janji manis orang yang tidak dikenali,” katanya.
Untuk rekod, perkahwinan Zafrul, 47, dengan Raja Datin Sri Johanna Raja Arshad, 44, diserikan dengan empat cahaya mata iaitu Tengku Zahra Jasmina, Tengku Zahira Eusnie, Tengku Zaeem Khalif dan Tengku Zayn Aqeel.