16 Dis: Lapan wakil negara akan beraksi pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol hari ini.
Cabaran utama Malaysia digalas pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia yang mara selepas berhempas pulas untuk menewaskan Ygor Coelho dari Brazil 21-14, 22-24, 21-14 pada pusingan kedua semalam.
Zii Jia yang turun sebagai pemain pilihan ketujuh kejohanan akan menentang pemain pilihan ke-21 dari Denmark, Hans-Kristian Solberg Vittinghus pada pusingan ketiga.
Jika berjaya menewaskan Vittinghus, Zii Jia juga perlu bekerja lebih keras untuk menempah slot ke separuh akhir kerana dia dijadualkan bertemu pemenang antara pemain pilihan ke-13 dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dan pilihan ketiga dari Denmark, Anders Antonsen di suku akhir.
Zii Jia yang menghuni ranking ketujuh dunia dan baru pulih daripada kecederaan belakang dipaksa bekerja keras dalam dua perlawanan pertama pada kejohanan berprestij ini.
Juara Seluruh England 2021 itu bermain sehingga ke set penentuan untuk menewaskan Jason Anthony Ho-Shue dari Kanada 21-10, 17-21, 21-11 pada pusingan pertama.
Pada penampilan sulung tahun 2019, Zii Jia terkandas di suku akhir selepas tewas 12-21, 8-21 kepada Kenta Momota.
Selain dalam acara perseorangan lelaki, Malaysia turut menghantar wakil dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran selepas cabaran perseorang serta beregu wanita berakhir.
Pada pusingan ketiga, pasangan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan bertemu pilihan ketiga dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin.
Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula akan menentang Satwiksairaj Rankreddy-Chirag Shetty yang tampil selaku pemain pilihan kelapan dari dari India.
Pasangan Goh V Shen-Tan Wee Kiong dijadualkan berdepan Bjarne Geiss-Jan Colin Volker dari Jerman manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang pilihan ke-16 dari China, He Jiting-Tan Qiang.
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengetuai cabaran dalam acara beregu campuran. Pasangan ini akan bertemu pemain pilihan ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.
Beregu Hoo Pang Ron-Cheah Yee See pula berdepan Mark Lamsfuss-Isabel Lohau dari Jerman yang turun selaku pemain pilihan ke-11 manakala Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai melawan Yeung Ming Nok-Ng Tsz Yau dari Hong Kong.