Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat meninjau situasi banjir di ibu kota susulan hujan lebat yang melanda lebih 24 jam lalu.
Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu memaklumkan, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menuruni kenderaan dalam keadaan hujan di jalan susur menghala ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan meredah air banjir bagi melihat sendiri situasi di sekitar kawasan tersebut.
“Keberangkatan Seri Paduka Baginda mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat tanpa mengira tempat, masa dan cuaca,” menurutnya.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,963 orang membabitkan 6,135 keluarga di lapan negeri dengan Perak dan Kuala Lumpur menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu setakat jam 11.20 pagi tadi.
Berdasarkan laporan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 275 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.
Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 6,887 orang diikuti Selangor (5,350), Kelantan (3,877), Melaka (560), Kuala Lumpur (555), Negeri Sembilan (467), Terengganu (267) manakala Perak tiada mangsa direkodkan namun satu PSS dibuka setakat jam 8.05 pagi.