fbpx

Harimau Malaya ‘longlai’ di kaki Indonesia

Tiada apa lagi yang boleh diperkatakan.

Rata-rata para peminat sukan bola sepak tanah air sedang menahan rasa marah dan kecewa dengan kekalahan 1-4 Malaysia kepada musuh tradisi, Indonesia.

Skuad Harimau Malaya diaibkan pada perlawanan terakhir Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Nasional Singapura, Kallang malam tadi.

Jurulatih, para pemain dan seluruh pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertanggungjawab di atas kekalahan ini.

Tidak perlu lagi memberikan sebarang alasan kerana kata-kata yang keluar daripada mulut mereka hanya akan menambah luka di hati rakyat Malaysia.

Jangan bagi alasan tak cukup pemain, tiada masa untuk membuat persiapan yang rapi, pemain tidak cukup cergas atau apa-apa sahaja.

Terimalah hakikat bahawa FAM sudah gagal.

FAM gagal melantik jurulatih yang hebat. FAM gagal melahirkan pemain-pemain yang versatil. FAM gagal memilih para pemain yang berkebolehan. FAM gagal menyediakan program latihan yang baik untuk pasukan kebangsaan.

Tidak berbaloi guna pemain naturalisasi. Lebih baik bagi peluang kepada pemain-pemain muda untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe juga gagal. Dia gagal membentuk pasukan yang mantap. Guna formasi dan taktikal yang salah dan tidak mahu mendengar pendapat serta kritikan. Masih menggunakan formasi dan taktikal sama untuk pasukan lawan yang berbeza.

Para pemain juga gagal. Gagal menggunakan peluang yang terhidang. Tidak mahu membalas kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka.

Sedangkan pada satu ketika, skuad Harimau Malaya sudah berada di depan.

Contohnya pada perlawanan malam tadi, anak-anak buah Cheng Hoe mendahului Indonesia seawal minit ke-13 menerusi Kogileswaran Raj.

KOGILESWARAN menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya.

Pemain tengah kelab Petaling Jaya City berusia 23 tahun itu melepaskan satu rembatan kencang dari jarak 30 meter untuk menewaskan penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata.

Sepatutnya, Cheng Hoe bertindak segera. Ubah formasi dan taktikal. Jangan terus menggunakan formasi ‘keramat’ 4-1-4-1 atau 4-3-2-1 yang menjadi ‘trade mark’ selama ini.

Berbanding pengendali Indonesia, Shin Tae-yong yang menggunakan formasi 4-4-2.

Tae-yong dari Korea Selatan tampil dengan formasi 4-5-1 ketika menewaskan Kemboja 4-2, formasi 4-4-2 semasa membelasah Laos 5-1, formasi 5-4-1 apabila terikat tanpa jaringan dengan Vietnam.

Apa salahnya ubah formasi untuk memperkuatkan benteng pertahanan supaya dapat mengekang asakan bertubi-tubi pemain-pemain muda Indonesia.

Gunakan strategi bertahan. Tambah pemain di posisi pertahanan. Gunakan juga pemain tengah pertahanan dan sesekali melancarkan serangan balas yang pantas.

Situasi ini akan memberi tekanan kepada pemain-pemain Indonesia.

Namun, sebaliknya yang berlaku. Indonesia yang hanya mahu mencatat keputusan seri untuk melayakkan diri ke separuh akhir bermain lebih ‘santai’ meskipun mereka ketinggalan 0-1 pada minit ke-13.

Pemain-pemain Harimau Malaya pula yang bermain dalam situasi tertekan. Tidak ada persefahaman sebagai sebuah pasukan. 

Sering hilang bola meskipun dalam situasi mudah. Melakukan hantaran-hantaran bola yang lemah dan tidak sampai ke sasaran. Fizikal yang lembik dan mudah terjatuh atau cedera apabila dirempuh pemain Indonesia.

Statistik perlawanan menunjukkan, Indonesia melakukan tujuh percubaan tepat ke arah pintu gol Harimau Malaya berbanding hanya 3 yang dilakukan pasukan negara.

Begitu juga dengan kekasaran. Indonesia melakukan 15 kekasaran berbanding 9 yang dilakukan pemain-pemain negara.

Ini menunjukkan Indonesia cuba menyekat pergerakan pemain-pemain Harimau Malaya dengan melakukan terjahan-terjahan keras.

Harimau Malaya ada kelebihan daripada segi fizikal berbanding pemain lawan.

Junior Eldstal dan Dion Cools sepatutnya menggunakan kelebihan itu untuk mengawal pergerakan-pergerakan pemain Indonesia yang diketuai Irfan Jaya.

IRFAN (kanan) meledakkan dua gol ketika Malaysia tewas 1-4 kepada Indonesia.

Kegagalan itu memberi ruang dan peluang kepada Irfan untuk menjaringkan gol penyamaan sebelum meletakkan Indonesia di depan pada minit ke-36 serta 43.

Ketika ghairah untuk memburu gol kedua, gawang Harimau Malaya yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat sekali lagi bolos menerusi jaringan Pratama Arhan pada minit ke-50.

Ini adalah detik kehancuran Harimau Malaya. Jaringan ini seolah-olah membunuh semangat para pemain. 

Mereka tidak lagi bermain dengan baik mengikut perancangan jurulatih sebaliknya lebih banyak menggunakan emosi.

Kelibat Cools ada di mana-mana sahaja. Dia bermain di posisi pertahanan, tengah, sayap dan serangan. Dia sangat bersemangat tetapi seperti ‘lone ranger’.

Akibatnya, gawang Harimau Malaya bocor sekali lagi menerusi tandukan kencang Elkan Baggott pada minit ke-82.

Ketika kedudukan sudah 1-4, tiada keajaiban yang boleh dicipta Harimau Malaya selain akur dengan kehebatan musuh tradisi itu.

Dari segi penguasaan bola, Malaysia merekodkan sebanyak 52.2 peratus berbanding Indonesia iaitu 47.8 peratus.

Harimau Malaya pulang awal. Tidak layak ke separuh akhir dan gagal mengulangi pencapaian terbaik menjadi juara seperti mana yang dilakukan pada tahun 2010.

Anak-anak buah Cheng Hoe sekadar menghuni tangga ketiga Kumpulan B selepas hanya mengutip enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan yang memalukan kepada Vietnam serta Indonesia.

Selaku juara kumpulan, Indonesia akan bertemu tuan rumah, Singapura manakala Vietnam berdepan juara Kumpulan A, Thailand.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles