Long Tiger dijel 12 bulan

20 JAN: Mahkamah Majistret Tangkak hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan kepada lelaki Rohingya, Long Tiger atau nama sebenarnya Abd Hamim Ab Hamid.

Tertuduh, 33, yang meloloskan diri dari lokap mahkamah itu pada 15 Disember lalu dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar.

Zaridah turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman berkenaan daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Disember 2021 di Penjara Kluang.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana tertuduh telah ditahan secara sah di sisi undang-undang atas kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember 2021 kira-kira jam 11.55 pagi.

Untuk kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri daripada lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan telah meminta anggota polis yang ditugaskan untuk membuka gari.

Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk melarikan diri ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

Ketika melarikan diri, tertuduh juga telah dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyum Rahman.

Tertuduh diwakili peguam, Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md Yusoff.

Terdahulu, Zaridah menetapkan tarikh 14 dan 16 Februari depan bicara bagi empat kes berkaitan tertuduh iaitu Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah dan 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan bunuh di Mahkamah Majistret Tangkak.

Tertuduh juga masih berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol di Mahkamah Muar.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles