2JULAI: Dua beranak dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di sebuah kolam takungan di Taman Cahaya, Sungai Chua Kuala Lumpur hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pada jam 2.15 petang.
Menurut beliau, terdapat tiga individu daripada sebuah keluarga dilaporkan menaiki bot terbabit sebelum dua daripadanya hilang selepas bot dinaiki terbalik.
“Seorang bapa bersama dua anak lelaki menaiki bot itu dengan seorang anak berusia 18 tahun berjaya menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, ayah mangsa yang berusia 50-an serta seorang lagi anak berusia 15 tahun masih hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Norazam, pasukan bomba kini masih lagi melakukan ‘surface searching’ (pencarian di permukaan) serta menggunakan ‘grappling iron’ di tasik dengan kedalaman dianggarkan 30 meter itu.
Katanya, usaha mencari dan menyelamat itu turut disertai anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Selangor.