SHAH ALAM – Seorang penceramah bebas bergelar Ustaz dicekup selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di beberapa lokasi di negeri ini.
Lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, kira-kira pukul 4.50 petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, penahanan itu dilakukan susulan laporan polis berkaitan kes rogol dibuat mangsa pada pukul 11.15 malam, Sabtu lalu.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berkenalan dengan suspek sejak Mei tahun lalu dan kedua-dua mereka beberapa kali melakukan hubungan intim di lokasi yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Suspek kini direman selama lima hari sehingga 23 Julai ini daripada Mahkamah Majistret Sungai Besar dan siasatan lanjut ke atas penceramah itu masih sedang dijalankan.
Sasikala berkata kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Setakat ini, katanya empat kertas siasatan dibuka iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.