KUALA LUMPUR – Minyak masak sawit dalam botol lima kilogram (5kg) akan dijual pada RM34.70 bulan ini bermula 8 Ogos.
Sebelum ini, ketika ini harga minyak masak 5kg berharga antara RM39 hingga RM42 sebotol.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, berkata berdasarkan penentuan harga itu mulai hari ini, penguatkuasaan harga di kedai hendaklah mula dilaksanakan tujuh hari kemudian.
“Bermakna 8 Ogos, minyak masak dalam botol 5kg yang sekarang dijual dari RM39 hingga RM42 hendaklah dijual pada harga maksimum RM34.70,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau juga mengumumkan, kerajaan memutuskan mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi di Semenanjung, ditentukan secara bulanan mengikut purata harga minyak sawit mentah (CPO) bulan sebelumnya.
Pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan dilakukan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (CPO) diumum Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan harga RM4,063 bagi Ogos.
Katanya, penetapan harga siling itu akan berkuat kuasa setiap lapan hari bulan dengan kadar bagi minyak masak botol 3kg dan 1kg akan diumum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kelak.