ABUJA – Pada usia 10 tahun, seorang kanak-kanak lelaki di Nigeria digelar ‘bilionair termuda di dunia’ dengan memiliki sebuah kereta mewah dan rumah agam serta aset lain bernilai lebih 12 juta pound sterling (RM65.1 juta) atau lebih enam bilion dalam Naira Nigeria.
Daily Star melaporkan, Muhammed Awal Mustapha digelar sebagai Mompha Junior mempunyai wang simpanan dan dilihat suka memakai pakaian berjenama.
Anak tunggal kepada bintang internet Ismailia Mustapha, yang dikenali sebagai ‘Mompha Senior’ itu dihadiahkan rumah agam semasa berumur enam tahun.
“Memiliki rumah sendiri adalah salah satu perasaan terbaik yang pernah ada. Ia tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, ia tidak boleh diukur dengan wang.
“Pemilikan rumah adalah perasaan yang menjadikan kehidupan seharian berbaloi untuk dihadapi.
“Tahniah anak saya atas rumah baharu awak. Hadiah hari ulang tahun kelahiran kamu daripada ayah,” kata Mompha Senior selepas menghadiahkan rumah kepada anaknya.
Difahamkan, ‘Mompha Senior’ menjana pendapatan daripada perniagaan pertukaran wang di Lagos sebelum beralih ke pelaburan.
Walaupun usia ‘Mompha Junior’ masih muda, si bapa mendakwa anaknya itu sudah menerima ganjaran daripada usahanya
“Tuan tanah termuda yang memakai Gucci dan masih memiliki sebuah rumah,” katanya.
Mompha Junior sering memuat naik gambar untuk pengikut media sosialnya termasuk bergambar di hadapan Lamborghini Aventador dan Bentley Flying Spur. – AGENSI