fbpx

Jalan TAR ditutup setiap Ahad, persembahan buskers, seni kreatif tarikan baharu

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk menutup Jalan Tuanku Abdul Rahman, yang lebih dikenali sebagai Jalan TAR daripada semua kenderaan pada setiap Ahad, bermula 28 September depan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata cadangan itu bertujuan menggalakkan budaya berjalan kaki dalam kalangan warga kota dan DBKL kini sedang melakukan sesi libat urus dengan pihak di kawasan terbabit bagi membolehkan penutupan jalan itu direalisasikan.

“Kami hendak tutup Jalan TAR dari simpang Jalan Esfahan sehingga ke Jalan Tun Perak, bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam untuk rakyat membudayakan amalan berjalan kaki,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkenaan usaha menaik taraf infrastruktur pejalan kaki di Kuala Lumpur dan pembudayaan amalan berjalan kaki dalam kalangan warga kota.

Jaluluddin berkata, pelbagai program pengisian turut dirancang untuk dilaksanakan sepanjang penutupan jalan itu, termasuk persembahan pemuzik jalanan (buskers), persembahan seni kreatif serta program sukan tradisional.

Selain itu, beliau berkata, DBKL juga sedang meneliti cadangan untuk melaksanakan perkara yang sama di persimpangan Jalan Pudu hingga ke persimpangan Jalan Bukit Bintang.

Berkenaan projek menaik taraf infrastruktur laluan pejalan kaki, Jalaluddin berkata, 23 kawasan dikenal pasti sebagai berpotensi untuk dinaik taraf.

“Projek itu dirancang supaya ia mempunyai satu jaringan yang lengkap. Apabila siap kelak, ia akan memberikan imej baharu atau penjenamaan semula kepada kawasan terbabit dan secara tidak langsung boleh dijadikan tarikan pelancongan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa berkenaan langkah diambil DBKL untuk menjamin keselamatan pejalan kaki, Jalaluddin berkata, kira-kira 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di seluruh bandar raya, dengan 2,062 daripadanya tertumpu kepada laluan pejalan kaki, selain 250 petugas penguat kuasa menjalankan rondaan dari semasa ke semasa.

“Jangan risau, keselamatan anda dijamin. Galakkanlah amalan berjalan kaki,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles