SHAH ALAM – Sebuah video tular di media sosial sejak semalam membabitkan seorang individu dipercayai wanita dari Malaysia yang menunaikan umrah memakai ihram lelaki.
Video berdurasi 17 saat yang dikongsikan di Twitter pemilik akaun, @Aliyameha menunjukkan individu terbabit berada di hadapan kaabah.
Banyak saksi tampil di TikTok mendedahkan bahawa individu tersebut menipu status jantinanya dengan memberikan nombor kad pengenalan palsu.
Pemilik akaun @Aliyameha itu turut mendakwa mengetahui maklumat peribadi individu tersebut termasuk tempat mengundi, nombor kad pengenalan dan lesen.
Dalam pada itu, satu hantaran video menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudhah, seorang pengguna Twitter, .am mengesahkan individu berkenaan adalah wanita dan bekas pekerjanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menegaskan wanita berkenaan bakal berdepan tindakan tegas kerana isu berkenaan membabitkan hukum agama.
Justeru itu, beliau meminta bantuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyiasat bagi memastikan kesahihan isu yang sedang tular di media sosial itu, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.
“Saya mengambil berat perkara yang telah ditular dakwaan yang melaporkan seorang yang wanita yang mengerjakan umrah, namun berpakaian ihram lelaki. Isu ini melibatkan hukum hakam agama. Tindakan tegas akan dikenaka,” katanya.