fbpx

KPDNHEP, MPIC setuju pelaksanaan dua harga bagi minyak masak

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) untuk melaksanakan penetapan dua harga bagi minyak masak kegunaan domestik dan eksport.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata bagaimanapun, pelaksanaan langkah itu belum dapat diputuskan dan perlu dibawa ke Kabinet dalam tempoh satu atau dua minggu lagi untuk penelitian lanjut.

“Memang kita ada bincang cadangan nak buat penetapan harga dua peringkat untuk minyak masak kegunaan domestik dan eksport. Pada dasarnya, kita sudah bersetuju tetapi perlu diputuskan oleh Kabinet.

“Kita berharap penetapan harga ini akan dapat dilaksanakan untuk meringankan beban negara, khususnya membabitkan minyak masak bersubsidi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Ke-67 Kumpulan Kerja Mengenai Kerjasama Harta Intelek ASEAN (AWGIPC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan penetapan harga maksimum minyak masak botol di negara ini.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, di peringkat awal, ambang bagi minyak masak domestik dan eksport di bawah penetapan harga dua peringkat itu telah dibincangkan tetapi perinciannya belum dapat didedahkan.

Pada Mac lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya sedang mencari alternatif termasuk penetapan dua harga bagi kegunaan minyak masak domestik dan eksport bagi memastikan agihan subsidi minyak masak sampai kepada golongan sasar.– BERNAMA

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles