KUALA SELANGOR – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor mengenal pasti 13 lokasi berisiko banjir susulan fenomena air pasang besar yang diramal selama tiga hari mulai 9 September.
Pengerusinya, Mohd Raiz Radzuan berkata, semua lokasi itu membabitkan kawasan sekitar Jeram, Ijok, Tanjong Karang dan Sekinchan.
Katanya, Jeram kawasan paling berisiko tinggi dilanda banjir yang membabitkan enam lokasi, iaitu Tambak Jawa, Pantai Remis, Pantai Jeram, Kampung Sungai Janggut, Kampung Sungai Sembilang dan Pekan Sungai Buloh.
“Kawasan lain, Kampung Sungai Yu, Pekan Tanjong Karang, Parit 4 Sekinchan, Bagan Pasir Tok Adam dan Pekan Kuala Selangor,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, semua yang terlibat termasuk ketua kampung akan menjalankan pemantauan 24 jam sepanjang fenomena tiga hari itu.
“Lebih 20 pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka sekiranya banjir buruk melanda daerah ini.
“Penduduk dinasihatkan sentiasa bersiap sedia dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa sekiranya diarah berpindah kelak,” katanya.