PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan fasa satu pemasangan lokar sekolah akhir bulan ini dalam usaha menangani isu beg berat dalam kalangan murid.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata fasa satu daripada tujuh inisiatif itu akan dilaksanakan di sekolah dua sesi, membabitkan murid Tahap Satu.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan menjelang Oktober, perolehan untuk inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan ke sekolah yang disenaraikan dalam fasa satu itu.
“Dalam fasa satu ini, kita pasang lokar untuk murid Tahun Satu dan Dua. Kita akan mula pasang lokar di sekolah pada penghujung bulan ni.
“Jadi Oktober nanti, kita akan cuba ikhtiar supaya semua perolehan tu sampai dan dipasang di sekolah,” katanya di sini, hari ini.
Mac lalu, Radzi menyenaraikan tujuh inisiatif meringankan beg sekolah iaitu penyediaan lokar, penyusunan semula jadual waktu sehingga empat mata pelajaran sehari dan buku latihan tidak lebih dua buah serta buku teks digital.
KPM turut menggalakkan penggunaan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bertema atau modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (Virtual Lab) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buku teks dan penggunaan uniform sekolah kebangsaan dibenarkan bagi sesi persekolahan kelas agama fardu ain (KAFA).