BATU PAHAT – Dua individu hilang manakala dua lagi selamat selepas bot yang dinaiki karam akibat cuaca buruk di perairan Parit Hailam dekat sini, kira-kira jam 5.00 petang, semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, maklumat awal kejadian, bot nelayan itu dikendalikan oleh empat kru warga tempatan yang keluar ke laut untuk memukat ikan.
“Pihaknya kami menerima aduan daripada orang awam memaklumkan terdapat bot nelayan tempatan karam pada kedudukan kira-kira 9.6 batu nautika barat daya Parit Hailam, Batu Pahat.
“Ketika kejadian, keadaan cuaca agak buruk dan ombak besar telah menyebabkan bot berkenaan terbalik sebelum karam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tekong bersama seorang lagi rakan berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bot dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran, namun dua lagi mangsa tidak sempat untuk menyelamatkan diri dipercayai sedang tidur ketika bot menarik pukat.
“Selepas menerima maklumat, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Op CARILAMAT pada jam 8 malam dan Bot Kilat 47 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Ketika di lokasi, bot nelayan berkenaan tidak kelihatan kerana sudah tenggelam sepenuhnya.
“Mangsa yang selamat telah dipindahkan ke bot dan seterusnya dibawa pulang ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk diserahkan kepada Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa,” katanya.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.