fbpx

Samy Vellu meninggal dunia, penghormatan terakhir bermula 2 petang ini

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden MIC, Tun Dr S Samy Vellu meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di sini kira-kira jam 7 pagi tadi.

Perkara itu disahkan bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan di Facebook beliau sebentar tadi.

“Dengan rasa sedih dan pilu, saya menerima berita tragis pemergian Tun Samy Vellu, bekas Presiden MIC dan menteri legenda dalam Kabinet Malaysia daripada anaknya Datuk Seri Vell Paari.

“Takziah kepada Toh Puan, Datuk Seri Vell Paari dan seluruh ahli keluarga atas kematiannya. Beliau menjalani sepenuhnya kehidupan yang mulia dan pergi dengan penuh penghormatan serta penghargaan,” katanya.

Mengenang jasa mendiang, Dr Subramaniam yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, Samy Vellu memberi sumbang besar terhadap negara dan masyarakat India.

Antara sumbangan besar mendiang adalah mewujudkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe.

“Justeru sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat India akan kekal dalam ingat kami,” katanya.

Bekas Menteri Kerja Raya itu menerajui MIC selama 31 tahun bermula 1979 hingga 2010.

Beliau mula menceburi bidang politik pada usia 23 tahun pada 1959 dengan menyertai MIC cawangan Batu Caves.

Samy Vellu antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun bermula sebagai Menteri Kerja Raya daripada 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008

Selain itu, beliau menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

Mendiang juga pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi dari 1978 hingga 2008.

Sementara itu, bekas setiausaha yang mewakili keluarga Samy Vellu, Datuk E Sivabalan berkata, mendiang akan dibawa ke Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dekat Jalan Kuari, Cheras esok.

“Urusan pengebumian sedang dibuat untuk mendiang Tun Dr Samy Vellu yang meninggal dunia pagi tadi.

“Justeru mereka yang ingin memberi penghormatan boleh berbuat demikian selepas jam 2 petang hari ini di kediaman Tun Samy Vellu di No.19, Lengkongan Vethavanam, Batu 3 1/2, Jalan Ipoh, 51100 Kuala Lumpur,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles