fbpx

Dua maut, 7 motosikal uji kelajuan di lebuh raya

SUNGAI PETANI – Dua lelaki termasuk seorang remaja bawah umur maut dalam kemalangan sesama sendiri ketika menguji kelajuan motosikal di sini, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 2.35 pagi membabitkan tujuh motosikal yang ditunggang seiringan di Kilometer 102.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, kejadian membabitkan enam motosikal jenis Yamaha Y15 dan sebuah Honda EX5 yang ditunggang beriringan dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri.

“Akibatnya, dua daripada penunggang motosikal terbabit meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk bedah siasat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua penunggang motosikal berusia 15 hingga 22 tahun dan tiga daripada mereka termasuk seorang yang meninggal dunia tidak mempunyai lesen.

“Lima lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan pada kaki, tangan serta kepala turut dibawa ke HSAH untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Zaidy berkata seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah motosikal lain yang ditunggang secara melawan arus di Jalan Lencongan Barat, di sini, malam tadi.

Difahamkan, kemalangan berlaku jam 12.10 tengah malam sewaktu mangsa bersama seorang lagi rakan menunggang motosikal masing-masing ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah pasar raya.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa dan rakannya menunggang motosikal dari arah sama Sungai Jagung menghala Sungai Layar, sebelum motosikal ditunggang lelaki berusia 52 tahun datang secara tiba-tiba dari arah bertentangan dan bertembung dengan mangsa.

“Akibatnya, mangsa cedera parah pada kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya dan lelaki yang menunggang motosikal melawan arus masing-masing cedera pada muka dan tangan kanan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles