IPOH – Serpihan tulang mangsa kedua dipercayai tertimbus dalam insiden runtuhan kuari pada Mac lepas di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditemukan petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, tulang tersebut ditemukan berhampiran lokasi kedua bangkai jengkaut dijumpai semalam.
“Seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai hari ini meneruskan kerja-kerja pencarian di lokasi runtuhan batu itu pada pukul 8 pagi.
“Ketika kerja-kerja pencarian dilakukan bersama pihak kuari, kita telah menemui cebisan tulang di lokasi bangkai jengkaut kedua sekitar pukul 12 tengah hari,” katanya hari ini.
Menurut beliau, kerja-kerja penggalian bagi melebarkan kawasan carian itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan sementara pada pukul 12.45 tengah hari ekoran hujan lebat.
“Cebisan tulang tersebut masih belum dibawa keluar dari lokasi runtuhan. Atas nasihat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), kita terpaksa menangguhkan sementara kerja-kerja pencarian.
“Operasi akan dijalankan semula bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.
Beliau berkata, operasi yang akan disambung semula jam 8 pagi esok akan tertumpu kepada usaha pencarian sisa-sisa rangka yang masih tinggal.
“Sebahagian daripada rangka berkenaan sudah dibawa keluar cuma esok operasi akan disambung semula untuk buat pencarian kalau (masih) ada sisa-sisa (rangka) lagi memandangkan cuaca pada petang ini tidak baik,” katanya lagi.
Menerusi laporan media semalam, dua bangkai jengkaut dijumpai di lokasi dua mangsa tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai sejak Mac lalu.
Dua mangsa dipercayai tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari itu dikenal pasti sebagai Itam Bah Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.