fbpx

Papan tanda tular di SUKE diturunkan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) memutuskan untuk mencabut papan tanda tambahan di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dengan serta-merta.

Tindakan tersebut supaya papan tanda itu tidak mengelirukan pengguna lebuh raya berkenaan dan dibuat berdasarkan maklum balas dan pandangan orang ramai di media sosial yang tular baru-baru ini.

Bagaimanapun, Prolintas menyatakan papan tanda yang dipasang di SUKE adalah mengikut piawaian ditetapkan dan mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Papan tanda itu, katanya, dipasang pada gantri yang terletak di setiap 250 meter sebelum persimpangan bercabang.

Katanya, papan tanda tambahan turut dipasang di antara cabang simpang di atas papan tanda arah sebagai insiatif yang dilaksanakan pihak perunding serta syarikat.

“Oleh sebab kekangan kawasan, saiz papan tanda tambahan yang digunakan adalah lebih kecil berbanding papan tanda sedia ada.

“Bagaimanapun, susulan maklum balas dan pandangan orang ramai di media sosial yang tular baru-baru ini, syarikat memutuskan untuk mencabut papan tanda tambahan itu dengan serta merta supaya tidak mengelirukan pengguna lebuh raya berkenaan,” katanya.

Baru-baru ini da beberapa pengguna lebuh raya itu meluahkan rasa tidak puas hati apabila mereka mendapati ada papan tanda susur keluar terlalu kecil berbanding papan tanda yang ada di bawahnya.

Menurut pengguna TikTok yang memuat naik rakaman video tersebut, butiran pada papan tanda susur keluar itu hanya boleh ‘dibaca dengan jelas’ apabila pengguna sudah masuk ke dalam antara susur keluar di lorong kiri atau kanan lebuh raya tersebut.

Dalam pada itu, Prolintas berkata, bahagian operasi Lebuhraya SUKE komited menambah baik perkhidmatan disediakan serta sedang mereka bentuk papan tanda tambahan baharu yang lebih praktikal dan dijangka siap dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles