IPOH – Pihak berkuasa menamatkan operasi mencari dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini selepas enam bulan berlangsung.
Operasi tersebut ditamatkan susulan penemuan rangka tulang dipercayai milik kedua-dua mangsa dan dua bangkai jengkaut sejak kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi yang disambung hari ini berjaya membawa keluar rangka jengkaut yang dipercayai dikendalikan mangsa kedua dari timbunan batu di tempat kejadian.
“Pencarian di kawasan berhampiran juga menemukan tulang dan cebisan pakaian disyaki milik mangsa kedua.
“Kesemua penemuan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tujuan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi pengesahan identiti,” katanya di sini hari ini.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.