BANGKOK – Thailand mulai bulan depan mengklasifikasikan pandemik COVID-19 sebagai endemik.
Pihak berkuasa memutuskan langkah itu selepas mengambil kira perkembangan penyakit itu dalam negeri dan peringkat global.
COVID-19 akan diklasifikasikan sebagai ‘penyakit berjangkit di bawah pengawasan’ daripada ‘penyakit berjangkit berbahaya semasa’ berkuat kuasa 1 Oktober.
Menurut laporan Bangkok Post, keputusan peralihan itu dibuat selepas Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCDC) meluluskan cadangan itu, semalam.
Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata situasi global COVID-19 telah bertambah baik berdasarkan penurunan jangkitan dan kematian, dengan kadar populasi tinggi yang diberi vaksin menyumbang kepada penambahbaikan itu.
Beliau berkata, kementerian sedang mengisytiharkan peralihan di bawah undang-undang penyakit berjangkit yang telah diwartakan dan ia akan berkuat kuasa pada 1 Oktober ini.
Penyenaraian COVID-19 sebagai penyakit endemik akan berlangsung hingga September 2023.
Rangka kerja pelan tindakan kementerian termasuklah pengawasan dan langkah pencegahan, komunikasi risiko serta rawatan perubatan dan langkah lain untuk mengawal penyakit itu.
Ia juga akan merangkumi aspek pengurusan sosial, perundangan dan ekonomi. – AGENSI