fbpx

Mesej palsu kanak-kanak diculik, jual organ kembali tular

KUALA LUMPUR – Mesej palsu berkaitan enam kanak-kanak dikatakan dilarikan ke negara jiran bagi penjualan organ pada 2017 kembali disebarkan melalui media sosial.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner A Skandaguru, berkata sejak kebelakangan ini, didapati mesej palsu itu diulang siar di beberapa platform media sosial.

Katanya, mesej berkenaan kononnya meminta masyarakat berwaspada berkaitan kejadian penculikan membabitkan sekumpulan kanak-kanak dan penjualan organ kanak-kanak.

“Kanak-kanak itu dikatakan diberi bahan terlarang yang menyebabkan mereka tidak mampu bercakap untuk memudahkan mereka dilarikan menaiki lori ayam ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ.

“Mesej itu juga mendakwa bahawa pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PDRM mengesahkan tiada menerima sebarang laporan polis berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti didakwa.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dan menyebarkan berita tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya.

“Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan sebarang berita palsu, boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles