MADRID – Seorang pelajar menggunakan beberapa batang pen yang diukir nota menggunakan jarum untuk lulus dalam peperiksaan.
Penipuan berjaya dikesan seorang profesor di Sepanyol ketika peperiksaan subjek ‘undang-undang prosedur jenayah’.
Akhbar New York Post semalam melaporkan, dalam satu perkongsian di laman Twitter, Profesor Undang-Undang Universiti Malaga, Yolanda de Lucchi berkata, kes tersebut berlaku dalam satu peperiksaan yang diadakan secara bersemuka.
Dia merampas beberapa batang pen jenama BIC daripada seorang pelajar lelaki sebelum menggelar kaedah penipuan itu sebagai ‘seni’.
Pelajar itu didakwa memasukkan sebatang jarum ke dalam pensil mekanikalnya untuk mengukir nota ujian di atas 11 pen, demikian menurut seorang pengguna Twitter bernama Gonzo yang mengaku bahawa dia juga pernah menggunakan taktik serupa.
“Permulaan setiap topik dikenal pasti selepas tulisan BIC.
“Jika anda perasan, hujung setiap pen dicat hitam (dakwat pen BIC tidak penuh sampai hujung) supaya nota dapat dilihat lebih jelas,” kata Gonzo. – Agensi