fbpx

Mahkamah EU benarkan syarikat larang pemakaian tudung di tempat kerja

BRUSSELS – Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (CJEU) membenarkan pelaksanaan larangan pemakaian tudung di tempat kerja bagi syarikat beroperasi di negara-negara blok berkenaan, lapor laman berita RT semalam.

Keputusan itu susulan kes seorang wanita beragama Islam menyaman sebuah syarikat Belgium pada 2018 selepas dia dilarang memakai tudung semasa menjalani latihan di firma itu.

Menurut majikan wanita itu, larangan tersebut adalah sebahagian daripada dasar berkecuali syarikat yang melarang pemakaian apa-apa jenis penutup kepala termasuk topi, beanie atau selendang, atau simbol agama dan tidak disasarkan kepada sesiapa secara khusus.

Dalam keputusannya, CJEU mengekalkan dasar syarikat Belgium itu dan mengakui bahawa tiada diskriminasi langsung dalam larangan tersebut.

Keputusan itu dibuat selepas CJEU pada tahun lepas mengumumkan bahawa firma-firma EU  boleh mengenakan larangan ke atas hijab atau apa-apa jenis penutup kepala lain selagi dasar sedemikian ‘diwajarkan oleh keperluan majikan untuk mempamerkan imej neutral kepada pelanggan atau mencegah pertikaian sosial’.

Isu kebenaran pemakaian penutup kepala atau muka oleh pekerja beragama Islam di tempat kerja atau tempat awam telah dipertikaikan oleh seluruh anggota EU selama bertahun-tahun dan menjadi titik perdebatan mengenai integrasi orang Islam ke dalam masyarakat Eropah. – Agensi

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles