fbpx

Isteri ketiga dituduh cederakan madu dengan parang

KUALA PILAH – Isteri ketiga yang dituduh mencederakan madunya yang merupakan isteri keempat dengan parang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Ruslyzay Shawaratuaini Che Roslan, 36, dari Puchong, Selangor didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas wanita berusia 41 tahun menggunakan parang jam 4.30 petang, 15 Oktober lalu di rumah di Felda Lui Timur.

Tertuduh pada mulanya mengangguk faham atas pertuduhan terhadapnya dan beberapa kali mengaku bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Bagaimanapun, tertuduh menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas diberi penerangan oleh mahkamah dan ditanya sama ada faham atau tidak pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Tertuduh yang sebelum itu mencelah bagi menafikan tindakannya itu turut menerima teguran Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi yang mahu tertuduh menjawab soalan yang ditanya sahaja.

Norma kemudian mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles