fbpx

Lima lelaki ditahan pukul penghulu

KOTA BHARU – Polis menahan lima lelaki semalam dipercayai memukul seorang penghulu Mukim Kenali, Kubang Kerian akibat berang dengan rakaman video yang dibuat mangsa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata lima lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan 5 pagi semalam selepas mangsa yang berusia 55 tahun membuat laporan polis.

Katanya, sebelum itu, ketika mangsa berada di bilik gerakan pusat mengundi di hadapan kedai runcit Jalan Pasir Puteh-Kubang Kerian di Mulong, pada jam 12.30 tengah malam semalam, sekumpulan lelaki memegang bendera dan mangsa membuat rakaman video dengan menggunakan telefon bimbit.

“Disebabkan tidak berpuas hati dengan rakaman video itu, sekumpulan lelaki turun dan berlaku perang mulut sebelum mangsa dipukul menyebabkan lelaki itu cedera di bahagian mata dan sakit belakang.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Katanya, kesemua mereka direman selama dua hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar di aplikasi WhatsApp yang mendakwa seorang penghulu di Kubang Kerian dipukul oleh beberapa lelaki dipercayai berpunca daripada perasaan tidak berpuas hati susulan mangsa membuat rakaman disyaki ketika mereka mencabut bendera parti.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles