PENGURUS England, Gareth Southgate menggesa pemainnya supaya tidak menghiraukan cemuhan serta kecaman penonton susulan keputusan seri 0-0 menentang Amerika Syarikat (AS) pada pertembungan Piala Dunia awal pagi tadi.
Skuad Southgate terlepas peluang menempah tiket ke pusingan 16 terakhir dengan persembahan lesu yang hanya menyaksikan satu percubaan tepat ke arah gol lawan.
Selepas membelasah Iran 6-2 pada aksi pembukaan Kumpulan B, ia jelas satu tamparan buat England, yang digembar-gemburkan sebagai bakal juara dunia berdasarkan bukti perlawanan pertama mereka.
Penyokong England di Stadium Al Bayt meluahkan perasaan kecewa mereka dengan ejekan dan membuat bising di tempat duduk penonton sejurus wisel penamat ditiup.
Kapten England, Harry Kane pula percaya mereka masih berada di posisi selesa untuk melangkah ke pusingan kalah mati.
“Keputusan seri ini bukanlah pengakhiran buat kami, namun ia meletakkan kami berada di satu posisi hebat dalam kumpulan dan kami amat menantikan perlawanan seterusnya.
“Kami tahu, kami boleh bermain dengan lebih baik berbanding itu. Namun ia adalah seri di Piala Dunia, tidak ada perlawanan mudah di Piala Dunia.
“Selepas prestasi pertama kami, orang ramai menyangka kami akan menewaskan semua pasukan yang kami temui, namun itu bukan situasinya,” kata Kane.
Sementara itu dalam aksi lain, Belanda turut diikat Ecuador 1-1 sekali gus pasukan itu perlu menunggu bagi memastikan tempat ke kelompok 16 terakhir.
Kapten Belanda, Virgil van Dijk menegaskan pasukannya akan mempamerkan aksi lebih menyakin selepas ini ekoran persembahan hambar pada perlawatan tersebut.
“Sudah tentu, ia agak jelas,” kata Van Dijk ketika ditanya sama ada Belanda perlu melakukan lebih baik selepas keputusan seri di Stadium Antarabangsa Khalifa yang meneruskan rentetan tanpa kelah mereka kepada 17 perlawanan.
“Saya rasa kami perlu tunjukkan tahap lebih tinggi…kami tidak tewas (17 perlawanan) jadi ada sebab untuk itu.
“Kami tahu dalam kawalan bola, kami boleh jadi lebih bagus, tapi kami baru di permulaan kejohanan. Kami akan meningkat,” katanya.
Pada aksi itu, pasukan Belanda meledak gol seawal minit keenam menerusi jaringan Gakpo dari luar kotak penalti.
Bersambung pada babak kedua, asakan berterusan Ecuador akhirnya membuahkan hasil apabila Valencia meledak gol ketiga peribadi pada Piala Dunia kali ini untuk menewaskan Noppert.