PAPAR – Seorang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kota Kinabalu-Papar, dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Gana, di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang, tiga lagi cedera termasuk seorang parah.
Mangsa yang maut adalah penumpang Perodua Aruz, Mohd Noh Hassan, 56, manakala pemandu kenderaan, iaitu lelaki berusia 42 tahun dilapor parah, manakala seorang lagi penumpang iaitu lelaki berusia 31 tahun cedera ringan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata 10 anggota termasuk pegawai bersama jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan berkenaan.
“Terdapat tiga mangsa dalam Perodua Aruz dengan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, manakala dua lagi cedera termasuk seorang parah.
“Lelaki berusia 24 tahun yang juga pemandu Proton Satria cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.