fbpx

Kanak-kanak maut dihempap tiang elektrik ketika bermain, dua rakan cedera

CHANGLUN – Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia, manakala dua rakannya tidak sedarkan diri selepas dihempap tiang elektrik ketika bermain di Jalan K16, Kampung Belukar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata mangsa yang meninggal dunia berusia 10 tahun dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, manakala dua lagi kanak-kanak berusia 10 tahun dan 11 tahun, masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian paha dan pinggang.

“Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan. Hasil siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian,” lapor BH Online.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata kanak-kanak terbabit, dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di tepi jalan berkenaan, yang kemudiannya jatuh dan menghempap mangsa.

Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.33 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azman Shahidan bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, komander operasi menerima maklumat tiga mangsa berusia sekitar 11 tahun dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di tepi jalan berkenaan sebelum ia terjatuh dan menghempap mangsa.

“Seorang kanak-kanak didapati sudah meninggal dunia, manakala dua lagi kanak-kanak tidak sedarkan diri. Mereka dikeluarkan daripada longgokan tiang oleh orang awam dan kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles