fbpx

Lapan rumah sewa Pondok Terusan Pasir Tumboh musnah terbakar

KOTA BHARU – Kira-kira lapan buah rumah yang disewa oleh warga Pondok Terusan Pasir Tumboh di sini musnah dalam kebakaran petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu penghuni pondok berkenaan berada di masjid yang jaraknya 500 meter dari tempat itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 5.03 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Kejadian membabitkan kebakaran 10 buah rumah dengan anggaran kemusnahan adalah lebih 90 peratus daripada keseluruhan struktur. Kesemua rumah berkenaan adalah separa kekal.

“Kami dimaklumkan hanya lapan rumah yang berpenghuni dan alhamdulillah, tiada mangsa yang mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, seramai 22 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi berkenaan yang melibatkan tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Tunjong dan Kota Bharu.

Kebakaran, katanya, dipadam sepenuhnya pada jam 7.01 malam.

Sementara itu, Setiausaha Pondok Terusan Pasir Tumboh, Ahmad Shairazi Atiqullah berkata, beliau mengetahui kejadian tersebut selepas dihubungi oleh warga pondok itu.

Menurutnya, beliau ketika itu berada di pusat bandar Kota Bharu terus bergegas pulang ke pondok berkenaan.

“Berdasarkan pemerhatian awal, kebakaran itu melibatkan rumah persendirian yang disewa oleh warga pondok.

“Kita masih belum dapat mengenal pasti punca kebakaran itu,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles