SKUAD Harimau Malaya menampilkan aksi positif ketika merekodkan kemenangan 4-0 ke atas Kemboja dalam aksi persahabatan, di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Menariknya, aksi tersebut dipenuhi ramai muka baharu dan pemain muda seperti penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Nur Shamie Iszuan Amin, Muhammad Aliff Izwan Yuslan selain dua pemain kacukan, David Rowley dan Stuart Wilkin serta dua pemain naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero.
Berdasarkan senarai itu, Tuck dilihat pemain paling menonjol dengan perancang tengah berusia 34 tahun itu turut berjaya membuka akaun gol bersama skuad Harimau Malaya pada penampilan pertama.
Dia turut mendapat pujian daripada sebahagian besar peminat, malah ada yang membandingkan kualiti dan semangat yang ditampilkannya dengan seorang lagi pemain naturalisasi, Guilherme De Paula yang terlebih dahulu menyarung jersi negara.
Selain itu, kapten Faisal Halim boleh diangkat sebagai pemain terbaik pada perlawanan itu apabila meledak dua gol cantik selain turut membantu Tuck meledak jaringan pada minit ke-38.
Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon turut menghamburkan pujian kepada semua pemain selain amat menghargai komitmen yang diberikan mereka untuk skuad kebangsaan.
“Saya tidak jangka kami boleh menjaringkan empat gol kerana kami bersama dalam tempoh yang singkat dan ramai pemain baharu dalam pasukan,” katanya.
Skuad Harimau Malaya akan tampil pada aksi pemanas badan kedua berdepan Maldives, Rabu ini.