SHAH ALAM – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengesahkan aktiviti hiburan pesta ria (fun fair) di Puncak Alam di sini tidak mendapat kelulusan dan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, penganjur telah beberapa kali mengemukakan permohonan lesen hiburan, namun didapati tidak lengkap.
Menurutnya, penganjur sepatutnya mengemukakan permohonan lesen dalam tempoh 45 hari kepada Jabatan Perlesenan MPKS bagi mendapatkan ulasan daripada jabatan teknikal lain seperti Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta pihak polis.
Dalam kejadian pada malam Isnin itu, Noraziera Zulkiffle, 31, dan adiknya, Shahfaraz Aiefan Zulkiffle, 11, mengalami kecederaan selepas terjatuh daripada permainan berkenaan di Puncak Alam.
Ibunya, Faizah Mat Sam, 52, berkata, keluarganya kecewa terhadap penganjur aktiviti pesta ria yang cuai dalam mengendalikan alatan permainan tersebut.
Menurutnya, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia membabitkan soal keselamatan dan nyawa bagi pengunjung.
“Saya kecewa dengan apa yang berlaku dan kami akan mengambil tindakan perundangan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari meminta laporan dan siasatan dibuat mengenai aspek keselamatan ‘fun fair’ berkenaan.
“Walaupun (hanya) ada kecederaan dan tidak membabitkan kehilangan nyawa, semua kena bertanggungjawab dalam hal ini dan PBT perlu lebih prihatin dalam menyemak prosedur serta kelulusan yang diberikan.
“Apa-apa pengoperasian fun fair, taman tema atau sebagainya harus mendapat kebenaran sebab ia membabitkan orang ramai yang datang,” tegasnya.