LEGENDA Brazil, Pele menyifatkan Lionel Messi ‘ditakdirkan’ menjulang Piala Dunia selepas Argentina menewaskan Perancis dalam penentuan penalti awal pagi tadi.
“Hari ini, bola sepak terus menceritakan sesuatu, seperti biasa, ia dengan cara yang memikat.
“Messi menang Piala Dunai pertamanya, ia laluan yang sudah ditentukan,” kata Pele yang juga juara Piala Dunia tiga kali di Instagram.
Pada perlawanan yang menakjubkan di Doha itu, Argentina unggul 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas hatrik Kylian Mbappe memastikan pertembungan itu berakhir 3-3 susulan masa tambahan.
Messi, 35, menjaringkan dua gol untuk memenangi Piala Dunia sulung buatnya sepanjang karier gemilangnya.
Dalam pada itu, Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menyerahkan kepada Lionel Messi sama ada mahu beraksi pada satu lagi Piala Dunia.
Scaloni, yang kelihatan penuh emosi ketika sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Lusail, memuji pemainnya kerana “berjuang bersungguh-sungguh” untuk memenangi Piala Dunia ketiga buat negara itu.
Pada awalnya, Messi mendedahkan kejohanan di Qatar itu akan menjadi yang terakhir buatnya tetapi Scaloni berkata, penyerang veteran itu berhak membuat keputusan sendiri.
Namun, selepas perlawanan itu, Messi berazam untuk terus beraksi di peringkat antarabangsa di sebalik memenuhi impian sepanjang hayatnya tetapi dia mengakui kariernya kini di penghujung.
“Saya mahu terus mengharungi beberapa perlawanan lagi sebagai juara dunia… karier saya hampir berakhir kerana ini adalah tahun-tahun terakhir saya,” kata Messi, dengan sasaran berikutnya adalah membantu kelabnya Paris Saint-Germain merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat julung kali.