Dividen ASB 4.60 sen seunit, dana wakaf ASNB cecah RM30 juta

WAKAF ASNB yang baru dilancarkan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah mencecah dana berjumlah RM30 juta dan pengagihan dividen sulungnya dijadualkan pada separuh pertama 2023, kata Presiden dan Ketua Eksekutif PNB Ahmad Zulqarnain Onn.

Beliau berkata produk itu terbukti menjadi eksperimen yang berjaya bagi PNB sebagai satu daripada inovasinya dalam kewangan Islam.

“Dari satu segi, ini adalah inovasi yang kami berbangga dengannya. Ia menunjukkan bahawa orang sanggup menyumbang wang mereka, asalkan mereka ada rakan pelaburan yang boleh dipercayai yang melakukannya dengan komitmen dan menguruskannya dengan cara yang betul,” katanya semasa sesi taklimat bersama para editor yang diadakan pada Rabu, bersempena dengan pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) hari ini.

PNB, menerusi Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan saham amanah milik penuhnya, memperkenalkan perkhidmatan Wakaf ASNB yang membolehkan pemegang unit ASNB untuk terus menderma unit amanah mereka bagi manfaat masyarakat.

Wakaf ASNB yang disediakan secara kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan konsep waqf muabbad, iaitu derma secara berterusan yang mana dana wakaf akan dikekalkan sebagai pelaburan utama bagi menjana potensi pulangan tahunan.

“Dana Wakaf ini berpotensi menjadi dana sebesar RM100 juta, RM1 bilion atau ia juga boleh menjadi dana RM10 bilion. Dana ini boleh dipertingkat menjadi satu kaedah berbeza untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Ahmad Zulqarnain juga berkata PNB akan lebih telus dari segi ke mana wang disalurkan dan ia akan menghantar laporan kepada mereka yang mewakafkan pelaburan mereka dan juga salinan kepada waris apabila individu tersebut meninggal dunia.

Menurutnya, pengagihan dana itu juga akan disalurkan ke seluruh negara, bukan hanya di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, PNB hari ini mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan ASB sebanyak 4.60 sen seunit bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2022.

Pembayaran pengagihan itu yang akan memberi manfaat kepada 10.6 juta pemegang unit ASB, sebahagian besarnya disumbang oleh sektor perbankan, perladangan dan automotif.

Ia terdiri daripada pengagihan pendapatan 3.35 sen seunit, serta pembayaran bonus 1.25 sen dan bonus tambahan 0.50 sen, yang berjumlah RM8.9 bilion.

Ahmad Zulqarnain berkata bonus tambahan itu diumumkan sebagai tanda prihatin kumpulan kepada keadaan kos hidup yang tinggi sekarang dan pembayaran akan diberikan kepada 30,000 unit pertama pemegang unit. – Bernama

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles