fbpx

151 lembu hanyut, warga emas kerugian RM600,000

JERTEH – Seorang penternak berputih mata apabila 151 lembu peliharaannya hilang dipercayai akibat hanyut selepas banjir melanda Kampung Pengkalan Kubor, di sini, Isnin lalu.

Kejadian itu menyebabkan Hashim Abdul Latif, 65, kerugian kira-kira RM600,000 apabila lembu membabitkan pelbagai baka itu hanyut dibawa arus banjir ke Sungai Keluang.

Hashim ketika ditemui mengakui bencana kali ini paling buruk dalam sejarah hidupnya apabila kawasan ternakannya dinaiki air separas tiga meter ditambah pula arus deras.

“Sebelum ini banjir tidak seteruk tahun ini, paling dalam pun hanya setengah meter. Kali ini air naik mendadak pada Ahad malam dan berterusan hingga Isnin.

“Kira-kira jam 12 tengah hari Isnin, saya dibantu penduduk kampung pergi ke kawasan kandang lembu menaiki enam bot dan sebaik tiba kami dapati kawasan itu seperti lautan dan semua lembu saya sudah pun hanyut,” katanya.

Hashim berkata, hanya 14 lembu miliknya ditemui terselamat, selepas tersangkut pada pokok nipah berhampiran kawasan itu.

Katanya, lembu terselamat itu kemudian ditarik dengan bot dan ada yang dimuatkan atas bot untuk dipindahkan ke kawasan tinggi.

“Kalau ikutkan jumlah lembu saya mencecah 200 ekor termasuk anak, tetapi kalau lembu dewasa sebanyak 165 ekor.

“Daripada yang hilang itu ada lembu berharga lebih RM10,000 seekor,” katanya yang menganggap kejadian itu sebagai dugaan.

Beliau yang turut mengusahakan tanaman tembikai dan keledek, mula menternak lembu kira-kira 12 tahun lalu bermula dengan hanya 15 ekor.

Sementara itu, penternak ayam kampung kacukan kerugian hampir RM13,000 apabila 1,000 ayam diternaknya di Kampung Pengkalan Sentul, dekat sini, mati akibat ditenggelami banjir.

Mohd Fahmi Mohd Nasir, 34, berkata ayam terkurung dalam dua reban itu mati apabila air meningkat mendadak hampir satu meter di kawasan itu.

“Semua ayam berusia 40 dan 30 hari itu sudah boleh dipasarkan, namun tidak ada rezeki apabila banjir kali ini menenggelami kawasan reban, sedangkan sebelum ini tidak pernah dinaiki air kecuali banjir besar,” katanya.

Dalam pada itu Pegawai Veterinar Daerah Besut, Syahidatul Jamaliah A Bakar, berkata setakat semalam 250 laporan diterima daripada penternak di daerah itu membabitkan haiwan ternakan ruminan dan bukan ruminan yang terjejas akibat banjir.

“Kita tidak menolak jumlah penternak akan tampil membuat laporan meningkat selepas ini,” katanya. – Bernama

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles