AMPANG JAYA – Seorang lelaki bertindak memukul jirannya dengan sebatang kayu hanya kerana mangsa didakwa membuat bising di luar kediamannya di sebuah apartment di Kampung Baru, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 81 tahun bersama rakan wanitanya didatangi suspek, 69, dengan membawa sebatang kayu dan terus memukulnya di bahagian mata dan belakang badan.
Katanya, suspek kemudian terus melarikan diri masuk ke rumahnya manakala mangsa dan rakannya juga melarikan diri dengan naik ke tingkat atas.
“Mangsa kemudian bersama anaknya ke balai polis untuk membuat laporan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami bengkak di mata sebelah kanan dan sakit di bahagian belakang badan,” lapor BH Online.
Beliau berkata, susulan itu sepasukan anggota polis menahan suspek jam 2 petang dan merampas kayu berkenaan.
“Suspek yang ditahan mengaku terbabit dalam kes itu dan kejadian dipercayai berpunca kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan membuat bising di luar rumahnya dengan bercakap kasar.
“Suspek yang tiada rekod jenayah lalu itu dipercayai sedang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Bahagian Psikiatrik Hospital Ampang, namun pihak polis masih sedang mengesahkan dakwaan itu dengan pihak hospital.
“Suspek juga membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.