SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan drastik dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka jika kes COVID-19 merekodkan peningkatan mendadak di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini kes masih rendah dan keadaan terkawal di Negeri Sembilan.
“Kita antara negeri yang terendah kes COVID-19 pada masa ini, namun sebagai langkah keselamatan, kita galakan rakyat Negeri Sembilan memakai pelitup muka.
“Ini kerana kita berada dalam keadaan terbuka selain ramai pelancong luar datang walaupun belum ada pelancong dari China ke sini.
“Tetapi kita tidak boleh nafikan walaupun ada orang cakap tak pakai pelitup muka pun kena (COVID-19), pakai pelitup muka pun kena, jadi… bagi kita yang ada kesedaran gunakanlah pelitup muka,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan jawatankuasa bencana negeri untuk aktifkan pelaksanaan pemakaian pelitup muka, sekiranya kes COVID-19 naik mendadak.
“Langkah ini penting supaya kita akan dapat kawal lebih awal bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya.