JOHOR Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen musim ini dengan cemerlang selepas berjaya menewaskan Terengganu FC, 2-0 pada aksi Piala Sumbangsih 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Jaringan pemain import, Juan Muniz Gallego pada minit ke-5 dan Bergson Da Silva pada minit ke-57 itu memastikan skuad Harimau Selatan mengekalkan trofi Sultan Haji Ahmad Shah.
JDT bermula garang menerusi gandingan penggempur berbisa mereka, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri yang mengucar-kacirkan kubu lawan.
Seawal minit ke-5, Juan Muniz menanduk masuk gol sulung perlawanan hasil hantaran Bergson Da Silva.
TFC mula bangkit mengatur asakan ke gawang tuan rumah namun separuh masa pertama kekal 1-0.
Babak kedua menyaksikan JDT semakin garang mengatur asakan ke gawang pelawat dengan menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan.
Skuad Harimau Selatan itu hampir menambah jaringan pada minit ke-50, namun rembatan pemain sayap lincah Arif Aiman Hanapi tepat ke dakapan penjaga gol TFC, Mohd Suhaimi Husin.
Penyerang import, Bergson Da Silva sekali lagi menggamitkan stadium apabila menjaringkan gol kedua tujuh minit berselang.