fbpx

Ops Pintas : 29 warga Indonesia beli Mykad palsu RM300 ditahan JPN

PUTRAJAYA: Seramai 29 warga Indonesia ditahan pihak berkuasa dalam Ops Pintas di Taman Perindustrian Puchong, dekat sini kerana memiliki dan menggunakan kad pengenalan palsu atau milik individu lain yang dipercayai dibeli pada harga RM300.

Terdahulu, gerakan disertai 17 pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dilancarkan susulan aduan orang awam serta risikan selama 10 hari, berjaya menahan sebuah van dinaiki 14 warganegara berkenaan, kira-kira jam 6 pagi semalam.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pemeriksaan ke atas kenderaan itu kemudian menemukan 13 kad pengenalan palsu dan satu kad pengenalan milik individu lain beralamat di Sabah.

“Susulan itu, pasukan operasi terus melancarkan pemeriksaan di kawasan Taman Perindustrian Puchong dan berjaya menahan 15 lagi warga asing yang memiliki kad pengenalan palsu.

“Ada warga asing membuang dokumen palsu berkenaan bagi mengelak ditahan, namun perbuatan itu dapat dikesan dan anggota operasi merampas semua kad pengenalan itu. Semua 29 warga asing terbabit direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau memaklumkan, 26 wanita dan tiga lelaki warga Indonesia yang ditahan itu berusia 19 hingga 70 tahun serta berasal dari Sulawesi, Medan dan Acheh.

Katanya, hasil siasatan mendapati kad pengenalan palsu yang digunakan mereka dibeli daripada warga tempatan tidak dikenali di Lembah Klang pada harga RM300 setiap kad yang siap dalam tempoh seminggu.

“JPN juga sedang menyiasat bagaimana kad pengenalan milik individu dari Sabah itu boleh digunakan warga asing yang ditahan, sama ada ia dipinjamkan oleh pemilik atau hilang.

“Sekiranya hilang, pemilik perlu membuat laporan polis dan jika meminjamkannya kepada orang lain, ia satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Ruslin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung salah guna dan pemalsuan dokumen JPN melalui e-mel pro@pn.gov.my, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau talian 03-88807770/7768.

Untuk rekod, pada 2019, JPN menahan dan mendakwa 115 individu atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu, 2020 (69), 2021 (104), 2022 (130) dan 2023 (59), menjadikan jumlah keseluruhan 477 individu. (sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles