fbpx

Pencinta kucing buka Hotel Kucing untuk kembangkan minat dan mencari rezeki

Memandikan kucing antara perkhidmatan yang disediakan (Gambar sumber Harian Metro Online)

Semenyih: Kasih lelaki ini terhadap kucing amat mendalam kerana tidak hanya memelihara haiwan itu, sebaliknya turut giat menyelamatkan kucing jalanan ditemui termasuk membawanya ke klinik veterinar bagi mendapatkan rawatan.

Malah, lebih istimewa apabila Muhammad Akif Rabbani Ab Rashid, 26, turut membuka hotel kucing diberi nama Hotel Gebu Cat di Taman Pelangi di sini bagi mengembangkan minat, sekali gus mencari rezeki.

Akif berkata, biarpun sibuk, kucing jalanan diselamatkannya tidak disia-siakan sebaliknya dibawa bersama untuk tinggal dalam hotel yang beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Saya seorang pencinta kucing, jadi tak boleh tengok haiwan itu terbiar kelaparan tanpa makanan dan jagaan betul.

“Disebabkan itu, saya mengambil inisiatif menyelamatkan kucing jalanan dan daripada situ, perasaan sayang terhadap haiwan berkenaan makin mendalam.

“Berbekalkan wang simpanan dan rezeki yang ada, saya buka hotel kucing pula dengan matlamat memberi kemudahan tempat tinggal kepada haiwan berkenaan sementara pemiliknya tiada bersama atas sebab tertentu,” katanya.

Bercerita lanjut, Akif berkata, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu tiga rakan iaitu Rahmat Farid Abdul Razak, 26, Nur Qhatirah Khairunnisyah Md Nahar Amri, 25, dan Putera Nur Syahiran Putra Nur Indra Syah, 26, yang diambil sebagai pekerja untuk menguruskan kucing dihantar ke hotel itu.

Menurutnya, ada kelainan dan keistimewaan ditawarkannya kepada pelanggan yang datang menghantar kucing peliharaan mereka ke hotel itu antaranya melalui proses pendaftaran masuk bukan manual seperti kebiasaannya.

Kepakaran bekas pembangun aplikasi itu juga tidak disia-siakan apabila melakukan inovasi termasuk dengan membangunkan sendiri sistem untuk kegunaan hotel kucing.

“Saya tengok proses daftar masuk di tempat lain banyak yang manual dan sukar nak kawal…jadi kerana itu saya perkenalkan sistem digital.

“Ada 30 sangkar dalam hotel dan semuanya dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi dan memantau keadaan kucing di dalamnya.,” katanya.

Pada masa sama, hotel berkenaan turut melakukan saringan fizikal termasuk dengan menyemak kad vaksin sebelum menerima kucing bagi memastikan semua haiwan mendaftar masuk dalam keadaan sihat.

Meskipun baru beroperasi, Akif bersyukur kerana hotel berkenaan mendapat sambutan memberansangkan, malah menerima tempahan penuh menjelang Aidilfitri lalu.

“Saya mengenakan caj pada harga berpatutan, malah menawarkan khidmat boarding (bermalam) dengan pakej Rahmeow serendah RM9 semalaman.

“Pelanggan boleh memilih jenis sangkar diinginkan mengikut bajet mereka dan yang asas adalah RM30,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles