fbpx

Rossa temui peminat di Malaysia Julai ini

SEMPAT menyapa peminat menerusi konsert sempena 25 tahun keberadaannya dalam industri muzik di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada November tahun lalu, ternyata kemunculan sulungnya pasca pandemik Covid-19 itu belum memadai untuk mengubat sepenuhnya kerinduan Datuk Seri Rossa.

Bagi pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani itu, masih ada yang terbuku dan tidak sempat diluahkan, meskipun konsert itu terus memahat kukuh namanya sebagai antara penghibur Indonesia yang disegani.

Justeru, bagi melunaskan segala yang terbuku di sudut hatinya, Rossa tekad kembali menerusi konsert Another Journey: The Beginning bakal berlangsung di ibu negara pada Julai ini.

Kemunculannya itu sentiasa dinanti peminat setianya yang digelar Pecinta Rossa apabila semua tiket untuk konsert tersebut habis terjual dalam masa 24 jam.

Akur dengan permintaan ramai, penganjur mengambil pendekatan untuk tidak menghampakan peminat diva tersohor Indonesia itu dengan menambah satu lagi malam konsert iaitu pada 13 Julai depan.

Rossa temui peminat di Malaysia sempena ulangtahun ke 25 tahun dalam industri hiburan

“Banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum menambah satu lagi malam persembahan, termasuk kekosongan lokasi, penyanyi undangan, pemuzik dan pasukan produksi.

“Kami bersyukur kerana impian itu dapat direalisasikan pada 13 Julai depan, sekali gus memberi ruang kepada peminat Rossa untuk bersama-sama berhibur,” kata Pengarah Projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri.

Disebabkan enggan menghampakan harapan peminat, dia bersedia untuk beraksi satu malam lagi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sokongan luar biasa yang diberikan itu.

Konsert Another Journey: The Beginning kata Rossa, sedikit istimewa kerana tidak hanya membawa peminat menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya, malah turut memperkenalkan lagu terbaru daripada album yang menggunakan judul sama yang dilancarkan pada Februari lalu.

“Album ini merangkumkan pelbagai emosi dan turun naik saya sebagai manusia sepanjang dunia berdepan pandemik Covid-19. Jika ingin tahu apa yang saya lalui sepanjang dua tahun yang menguji itu, datanglah ke Konsert Another Journey: The Beginning pada 13 dan 14 Julai nanti,” katanya.

Tidak bersendirian, konsert itu menyaksikan Rossa bakal bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian pada 13 Julai dan Mahalini Raharja (14 Julai), selain turut memperkenalkan bakat baharu, Zareef Sein.

Mahilini yang sedang popular dengan lagu Sial turut memberikan sentuhannya menerusi lagu Lupakan Cinta yang dimuatkan dalam album Another Journey: The Beginning.

“Untuk kali pertama sepanjang 25 tahun berkarier, saya mengundang beberapa komposer muda berbakat besar untuk bekerjasama dalam pembikinan album ini.

“Ternyata, mereka sangat hebat dan Mahalini antara komposer serta penyanyi muda yang bakatnya sangat luar biasa. Lebih bermakna apabila Mahalini bersedia untuk menjadi sebahagian daripada konsert itu nanti.

“Kemunculan Mahalini, Rizky dan Zareef membuktikan industri muzik tidak ketandusan bakat baharu yang bakal membanggakan Malaysia dan Indonesia. Pastinya akan ada kejutan daripada kami nanti,” katanya.(Sumber Harian Metro Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles