fbpx

Jho Low di Macau – Rakan Jho Low

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya individu yang paling dikehendaki dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Taek Low atau Jho Low, sedang bersembunyi di Macau.

Dalam satu jawapan bertulis kepada Al Jazeera, SPRM menyatakan perkara itu disahkan oleh beberapa individu yang pernah melihat Jho Low di Macau.

Pendedahan mengenai Jho Low, yang boleh dikatakan penjenayah kolar putih paling dikehendaki di dunia itu berlaku hanya beberapa minggu selepas penahanan suspek 1MDB yang kurang dikenali, Kee Kok Thiam.

Gaya hidup mewah Jho Low, rangkaian rakan yang terkenal lagi berkuasa, hadiah mewah, hartanah mewah, kapal layar mega dan jet peribadi menjadikannya wajah global yang disifatkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) sebagai kes kleptokrasi terbesar yang pernah disiasat.

Namun, lelaki yang didakwa mendalangi kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM20.7 bilion) daripada Malaysia melalui kes 1MDB itu hilang pada 2016 apabila pihak berkuasa dari Singapura hingga ke Australia dan AS didakwa menyiasat kes penipuan besar-besaran itu.

Jho Low, Individu paling dikehendaki dalam kes 1MDB dalam buruan

Lokasi persembunyian Jho Low sejak itu menjadi sumber spekulasi selama bertahun-tahun, dan kini disahkan secara terbuka oleh SPRM.

Sebelum itu, pada 3 Mei lalu, pegawai SPRM bersiap sedia dan menunggu ketika pesawat yang membawa Kok Thiam, 51, ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut sumber polis, Kok Thiam dihantar pulang dari Macau kerana tinggal lebih masa selepas visanya tamat tempoh.

Kok Thiam dibebaskan selepas disoal siasat oleh pegawai SPRM dan badan pencegah rasuah itu berkata tiada pertuduhan dikenakan terhadapnya pada masa ini.

SPRM berkata kerajaan Malaysia tidak menerima apa-apa pemberitahuan daripada Macau mengenai penghantaran pulang Kok Thiam, sebaliknya mengetahui dia dihantar pulang dari Macau berdasarkan rangkaian perisikan.

Kok Thiam, yang disifatkan sebagai ‘pembantu’ Jho Low lebih selesa berselindung, tidak seperti Jho Low atau suspek 1MDB lain, malah gambarnya juga seolah-olah tidak wujud termasuk di media sosial.

Dia mula menarik perhatian pada 2016 apabila pihak berkuasa Singapura mengaitkannya dengan sebuah syarikat yang menerima lebih SGD$5 juta (RM17 juta) wang 1MDB, yang dirampas SPRM dengan bantuan Jabatan Siasatan Komersial Polis Singapura.

“Kok Thiam bersetuju menyerahkan semua aset miliknya di bawah bidang kuasa Singapura kepada kerajaan Malaysia.

“Kertas siasatan menumpukan kepada aset milik Kok Thiam di Singapura kini sudah lengkap dan dikemukakan kepada pejabat Peguam Negara bagi tindakan lanjut,” kata seorang pegawai SPRM.

Menurut keterangan mahkamah di Malaysia, tugas Kok Thiam adalah untuk mendeposit wang ke dalam akaun bank bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, bila diperlukan dan menguruskan layanan istimewa bagi adik eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid, bila dia melawat Malaysia pada 2010.

Al Jazeera mendedahkan bahawa beberapa bulan sebelum Kok Thiam ditahan, dia sedang berusaha menubuhkan perniagaan di Kemboja.

Pihak berkuasa Macau enggan mengulas mengenai kes tertentu, tetapi berkata mereka mahu menekankan bahawa kes yang membabitkan warga asing sentiasa dikendalikan mengikut undang-undang dan prosedur, serta amalan antarabangsa yang berkaitan.

Pengusiran Kok Thiam dilakukan selepas lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke China pada akhir Mac dan kenyataan tegas beliau baru-baru ini bahawa kerajaan sedang giat berusaha membawa pulang pelarian 1MDB.

SPRM juga berkata Kok Thiam mengesahkan dia bertemu Jho Low dan beberapa pelarian 1MDB lain termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal di Macau dan Jho Low mengarahkannya untuk tidak pulang ke Malaysia sebagai saksi dalam kes 1MDB.

Sementara itu, penganalisis berpendapat pihak berkuasa Malaysia tidak mungkin dapat membawa pulang Jho Low dalam masa terdekat.

SPRM menkata ia mula mengumpulkan bukti perisikan sejak kerajaan mengeluarkan larangan mengembara terhadap semua suspek 1MDB termasuk Kok Thiam sejurus selepas pilihan raya umum 2018. – (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles