fbpx

Jenazah pendaki gunung, Hazlami dikebumikan hari ini

PUTRAJAYA: Jenazah pendaki Malaysia Hazlami Ahmad Nizam yang dilaporkan meninggal dunia di pergunungan Mera Peak, Nepal, Khamis lalu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi ini.

Jurucakap Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil), Nepal ketika dihubungi berkata, jenazah diterbangkan dari Lapangan Terbang Tribhuvan dengan pesawat Malaysia Airlines (MH 115) jam 11.30 malam (waktu tempatan) semalam.

Bedah siasat pada Ahad di Teaching Hospital, Kathmandu manakala proses mandi, mengkafankan dan solat jenazah pula dijalankan dengan bantuan ahli jawatankuasa Masjid Jame’ Swayambhu pada jam 8 pagi Isnin.

“Hospital sudah mengesahkan kematian Hazlami berpunca daripada serangan akut gunung,” katanya.

Empat ahli keluarga Hazlami yang berada di Nepal sejak Jumaat lalu termasuk isterinya juga sudah pulang ke tanah air dengan Batik Air pada jam 9.30 malam (waktu tempatan) semalam.

Sebelum ini media melaporkan urusan membawa pulang jenazah tertangguh disebabkan menunggu urusan dokumentasi pihak berkuasa tempatan.

Hazlami, 33, kakitangan PETRONAS Chemicals, Gebeng, Kuantan, Pahang, dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai aktiviti mendaki di Mera Peak pada ketinggian 5,700 meter dari aras laut.

Allahyarham Hazlami dilaporkan meninggal dunia disebabkan oleh serangan akut gunung dan sebelum itu dilaporkan tidak sihat

Allahyarham yang meninggalkan tiga cahaya mata berusia 6, 4 dan 1 tahun dilaporkan berasa tidak sihat sebelum meninggal dunia.

Jenazah kemudian diturunkan secara manual oleh malim gunung ke aras 5,500m (dari aras laut) sebelum dibawa keluar dengan helikopter ke Lukla dan Kathmandu pada Sabtu bagi urusan dokumentasi pihak berkuasa Nepal dan bedah siasat.

Jurucakap Malawakil menambah, pihaknya juga sudah mendapatkan surat pengesahan kematian daripada pihak berkuasa Nepal termasuk menyediakan surat pengesahan dan beberapa dokumen yang diperlukan bagi tujuan membawa pulang jenazah.

Dengan penerbangan pulang jenazah dan ahli keluarga waris, Malawakil anggap kes ini selesai.

Menurut Malawakil, jenazah Hazlami akan diterbangkan dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan dijangka tiba jam 12.40 tengah hari.

Solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Muhibbudin, Sungai Pasir, Sungai Petani, Kedah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Bukit. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles