fbpx

Pilih Islam setelah lebih 10 tahun cari kebenaran

PULAU PINANG – Rutin harian, Beh Kean Kok, 45, kerap mundar-mandir sekitar Georgetown sambil bertemu rakan-rakannya termasuk di sekitar Komtar untuk bercerita kisah-kisah silam.

Lelaki orang kurang upaya (OKU) ini yang menetap di flat Padang Tembak bersama ibunya yang berusia 67 tahun, mendapati ramai rakan-rakannya kini telah berhijrah dengan memeluk agama Islam.


Memulakan cerita, Kean Kok berkata, sejak lebih 10 tahun lalu dia memang berminat mengetahui mengenai agama Islam daripada rakan-rakan mualaf dan bertanyakan apakah kebaikan agama Islam?.

“Hari ini, 11 Disember saya bertambah yakin untuk memeluk agama Islam setelah tercari-cari cara bagaimana hendak menjadi seorang Muslim,” katanya di sini.

Kean Kok melafazkan syahadah yang diajarkan oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful (IKUT) Pulau Pinang, Zolkifly Md. Lasim yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang di sebuah restoran di sini.

IKUT merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyantuni golongan mualaf termasuk membantu mereka menyelesaikan pelbagai masalah selain mendapatkan pekerjaan.

Menceritakan lebih lanjut, Kean Kok berkata, dia sejak kecil hidup dalam sekitar komuniti rakan-rakan beragama Islam.

Jelasnya, antara perkara yang menarik hatinya untuk memeluk agama Islam ialah seseorang anak perlu sentiasa menjaga kebajikan ibunya walau dalam keadaan apa sekali pun.
“Malah, Islam juga sentiasa mengingatkan saya supaya menjaga ibu walaupun ibu berlainan agama. Ibulah segala-galanya bagi saya, ibulah juga yang menjaga saya hingga dewasa. Tanpa ibu, sudah pasti saya tidak lahir di dunia ini.

“Selagi ibu hidup, saya akan menjaganya,” kata Kean Kok yang tidak bekerja sambil menunjukkan kad OKUnya. Beliau mendapat bantuan RM300 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Manakala ibu Kean Kok walaupun sudah lanjut usia masih bekerja sebagai seorang promoter pakaian di sebuah pusat membeli-belah di sini.

Lelaki itu mengambil keputusan memeluk agama Islam ketika mundar-mandir di sekitar Komtar dan bertemu seorang rakan mualaf, Mohd. Khang, 58, yang telah memeluk agama Islam sejak lebih tujuh tahun lalu.

“Mohd. Khang menceritakan kepada saya mengenai kebaikan Islam dan saya terus meminta dia membantu saya untuk memeluk agama Islam,” katanya.

Sementara itu, Zolkifly berkata, IKUT mulai hari ini (13 Disember) telah menghantar Kean Kok mengikuti kelas fardua ain dalam bahasa Hokkien di Bayan Baru di sini.

“Kelas itu akan diadakan beberapa siri bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada Kean Kok mengenai agama Islam selain akan didaftar mengikuti kelas anjuran Jabatan Agama Islam Pulau Pinang,” katanya.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles