fbpx

Ahli Parlimen Rompin bantu keluarga terjejas banjir

BANDAR MUADZAM SHAH – Sebanyak 40 keluarga di Kampung Rekoh yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, menerima barangan makanan kering bagi mengurangkan bebanan mereka.

Sumbangan barangan makanan kering itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah.

Barangan makanan itu disampaikan dalam program Misi Pasca Banjir  hasil sumbangan JCL Credit Sdn. Bhd. dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan Pertubuhan Peneraju Aspirasi Sahabat Rekreasi Perak (Sahabat).

Abdul Khalib pada sidang akhbar memberitahu, selain keluarga terjejas banjir, sumbangan barangan makanan itu turut diagihkan kepada keluarga yang memerlukan akibat kenaikan harga barangan.

“Kita menerima sumbangan kira-kira 400 kotak makanan kering.

“Program pertama, kita agihkan kepada 40 keluarga yang terjejas banjir di Kampung Rekoh.

“Selepas ini kotak-kotak makanan itu akan diagihkan pula kepada penduduk yang sekitar Rompin seperti di Bukit Ibam dan beberapa buah kampung lagi,” katanya selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan tersebut di sini.

Turut hadir ialah pengarah Sahabat, Mohd. Junaidi Abdul Rahman.

Menjawab pertanyaan, Abdul Khalib  berkata, pihaknya akan terus membantu penduduk yang memerlukan berikutan terlalu banyak aduan diterima  melibatkan kenaikan harga barangan selain kekurangan barangan asas.

“Aduan penduduk, mereka benar-benar terdesak dan dihimpit masalah ekonomi  apabila harga barangan asas naik mendadak seperti beras dan banyak lagi.

“Sebab itu, Parlimen Rompin akan terus menghulurkan bantuan kepada penduduk dengan kerjasama NGO dan juga syarikat-syarikat swasta,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles