LONDON: Manchester United akan melayan kunjungan Liverpool dalam aksi suku akhir Piala FA selepas masing-masing merakam kemenangan pada pusingan kelima.
United meredakan tekanan ke atas pengendalinya Erik ten Hag dengan kemenangan 1-0 ke atas Nottingham Forest hasil jaringan lewat permainan Casemiro.
Liverpool yang masih segar dengan kemenangan final Piala Liga ke atas Chelsea, sekali lagi mengharapkan barisan pemain muda ketika menewaskan Southampton 3-0 di Anfield.
Chelsea bangkit daripada kekalahan 1-0 di Wembley dengan mengatasi Leeds 3-2 untuk turut menempah tempat dalam aksi lapan terakhir Piala FA bertemu Leicester.
Pemain-pemain muda Liverpool kendalian Jurgen Klopp sekali lagi menunjukkan prestasi cemerlang dengan dua daripada mereka mencetus kemenangan.
Ketiadaan Mohamed Salah, Darwin Nunez, Diogo Jota dan Alisson Becker, memberi peluang buat Lewis Koumas, anak kepada bekas pemain tengah Wales dan West Brom, Jason Koumas, meraikan penampilan sulungnya dengan jaringan minit ke-44.
Penyerang 18 tahun itu melepaskan rembatan padu yang terkena pemain Southampton, Jack Stephens.
Jaden Danns, seorang lagi pemain 18 tahun yang mengikut jejak bapanya – bekas pemain Crystal Palace, Neil – menjaringkan gol kedua Liverpool pada minit ke-73.
James McConnell, 19, dan Bobby Clark, 19, turut menyerlah untuk Liverpool, yang memperkenalkan pemain 16 tahun, Trey Nyoni yang menjadi pemain termuda mereka dalam saingan Piala FA.
Danns melengkapkan kemenangan pada minit ke-88.
“Kami tidak mengambil mudah perkara ini (menentang United). Situasinya sangat membimbangkan. Kami mengharungi terlalu banyak perlawanan tanpa pemain mencukupi.
“Mereka (pemain-pemain muda) perlu cepat belajar dan meningkatkan prestasi, tetapi ia satu persembahan yang baik,” kata Klopp.
Di City Ground, United mengesahkan tempat di suku akhir buat kali ke-48, rekod tertinggi kelab Inggeris.
Ia adalah peluang terakhir buat United untuk menjulang trofi musim ini selepas Casemiro menanduk masuk sepakan percuma Bruno Fernandes pada minit ke-89.
Di Stamford Bridge, pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino turut boleh menarik nafas lega seperti Ten Hag apabila Conor Gallagher meledak gol kemenangan di akhir permainan.
Ia adalah pertemuan Piala FA pertama antara Chelsea dan Leeds sejak The Blues memenangi final Piala FA 1970.
Mateo Joseph meletakkan Leeds di depan sebelum Nicolas Jackson dan Mykhailo Mudryk menjaringkan gol buat Chelsea.
Joseph sekali lagi menemui sasaran tetapi Gallagher memastikan kemenangan buat Pochettino pada minit ke-90.
Dalam perlawanan lain, Wolves menewaskan Brighton 1-0 di Molineux hasil jaringan Mario Lemina hanya selepas 77 saat sepak mula.
Wolves akan bertemu Coventry di suku akhir, manakala juara bertahan, Manchester City akan melayan kunjungan Newcastle. – (Sumber Berita Harian Online)