NABAWAN – Jika di Semenanjung, untuk memimpin syahadah mereka yang hendak peluk Islam, boleh dikatakan tidak banyak rintangan sepanjang perjalanan.
Berbeza pula di Sabah terutama di kawasan yang agak terpencil serta berbukit-bukau.
Bermula dari Kota Kinabalu, sebelum melalui Keningau dan seterusnya memasuki kawasan Nabawan, untuk sampai ke Hutan Simpan Sapulut, ia mengambil masa lebih enam jam.
Perjalanan pula perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda disebabkan laluan yang perlu ditempuhi begitu sukar sebelum dapat sampai ke destinasi dituju.
Itulah yang terpaksa ditempuhi oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim untuk memimpin syahadah melibatkan 13 orang dari kaum Murut yang melibatkan empat pasangan suami isteri serta anak-anak mereka.
Sejam sebelum tiba di kawasan perumahan penduduk di Hutan Simpan Sapulut, talian telefon didapati tidak lagi berfungsi.
Namun, semua rintangan itu berbaloi walaupun terpaksa melalui jalan tanah merah, berlopak serta berbukit-bukau.
Sebaik sahaja tiba, beberapa penduduk termasuk empat pasangan suami isteri bersama anak-anak mereka sudah menanti untuk melafazkan dua kalimah syahadah.
Kumpulan 13 orang itu melafazkan syahadah yang dipimpnn oleh Zolkifly sendiri bagi lelaki manakala bagi wanita dipimpin Dr. Rosnah Abu Hassan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Dewan Bersalin Muslimah (DBM) yang juga isteri kepada Zolkifly.
Sebelum mengucapkan dua kalimah syahadah, Zolkifly turut memberi penerangan mengenai Rukun Islam dan Rukun Iman selain menjelaskan bahawa tidak ada paksaan untuk bersyahadah.
Sementara itu, bagi Nordayane Gaampitah, 20, hatinya rasa gembira dan tenang sebaik sahaja bersyahadah.
“Gembira dan tenang apabila dapat bersyahadah bersama ibu dan ayah.
“Memang sudah sekian lama saya hendak peluk Islam,” katanya ceria.
Bagi Denis Atak, 35, dia begitu gembira kerana dapat bersyahadah bersama isteri serta anak.
“Selepas ini saya harap dapat mendalami lagi agama Islam termasuk mengenai sembahyang dan puasa.
“Saya dan keluarga peluk Islam setelah mendapat penerangan jelas mengenai Islam yang utamakan perpaduan, kerjasama dan berbuat kebaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Zolkifly memberitahu, pihaknya dengan dibantu beberapa sukarelawan akan menguruskan pendaftaran saudara-saudara baharu itu dengan Jabatan Agama Islam negeri.
“Untuk daftarkan mereka, perjalanan dari penempatan ini ke Kota Kinabalu mengambil masa enam jam.
“Ini memang betul-betul mencabar untuk mereka keluar dari penempatan ini. Ini termasuk untuk sewa kenderaan dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, usaha juga sedang dibuat untuk mendapatkan khidmat guru agama bagi memberi penerangan lebih mendalam kepada saudara-saudara baharu berkenaan.
“Guru agama itu juga jika boleh yang tahu bercakap Murut bagi memudahakan pemahaman saudara-saudara baharu mengenai agama Islam,” kata Zolkifly.