fbpx

Kariah Masjid Al-Wataniah bersyukur dapat sumbangan van jenazah

MANJUNG – Lebih 2,870 kariah Masjid Al-Wataniah, Kampung Pasir Panjang Laut  di sini, melahirkan rasa syukur dan gembira kerana masjid tempat mereka beribadah dan menjalankan pelbagai aktiviti termasuk mendalami ilmu agama, akhirnya mendapat sumbangan van jenazah setelah sekian lama menunggu.

Bagi mereka sumbangan van itu memudahkan urusan para kariah termasuk apabila berlaku kematian yang melibatkan urusan pengebumian dan sebagainya.

Kalangan kariah di situ juga menganggap, kesempatan memperolehi van jenazah itu adalah berkat usaha, kesabaran dan kerjasama semua pihak.

Bekas Pengerusi Masjid Al-Wataniah, Zulkefli Abu Bakar berkata,  ia merupakan van yang ketiga diterima sejak wujudnya masjid berkenaan pada tahun 1965.

Menurutnya, van kali ini adalah dalam keadaan baharu berbanding dua van lain yang sudah agak lama dan uzur.

“Kita telah membuat permohonan sejak September tahun lalu. Setelah beberapa urusan dibuat, akhirnya kita terima van baharu hari ini.

“Harapan kami, van ini juga dapat digunakan oleh para kariah dari kawasan-kawasan berdekatan,” katanya pada majlis penyerahan van jenazah daripada Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. (Lumut Port).

Van bernilai RM150,000 yang meliputi pelbagai kelengkapan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Port, Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul.

Majlis penyerahan van itu turut disaksikan oleh dua Setiausaha Sulit Khas kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Mereka ialah Datuk Azri Jaafar dan Datuk Rashidi Ibrahim yang mewakili menteri berkenaan yang banyak membantu hingga berjaya mendapatkan van berkenaan.

Sementara itu, Mubarak Ali berkata, ia merupakan sumbangan van ke 14 setakat ini oleh Lumut Port.

MUBARAK ALI GULAM RASUL

Jelasnya, kos sebuah van melibatkan peruntukan RM150,000 meliputi pelbagai kelengkapan untuk menguruskan jenazah.

“Setakat ini Lumut Port telah menyumbang 14 buah van kepada pelbagai pihak melibatkan peruntukan lebih RM2.1 juta.

“Jumlah ini tidak termasuk peruntukan RM600,000 setiap tahun yang disediakan untuk pelbagai aktiviti tanggungjawab kebajikan dan sosial kepada pihak-pihak yang memerlukan,” katanya.

Menjawab satu pertanyaan, beliau berkata, setiap van yang disumbang oleh Lumut Port akan menggunakan nombor pendaftar 7799.

Zulkefli Abu Bakar (kiri) bersama Mubarak Ali Gulam Rasul (kanan) menunjukkan kelengkapan dalam van hasil sumbangan Lumut Port kepada Masjid Al-Wataniah, Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Perak.

“Mungkin ramai yang tertanya-tanya. Tapi nombor ‘7’ itu menunjukkan tujuh lapisan langit, satu lagi ‘7’ pula menunjukkan tujuh lapisan bumi manakala ‘99’ pula mengajar kita mengenai nama-nama Allah SWT,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles